Berkah Ramadhan · Dunia Islam · Hikmah · Tasawuf

Taujih Ramadhan Hasan Al Banna

Ramadhan adalah bulan perasaan dan ruhani serta saat yang paling baik untuk menghadapkan diri kita kepada Allah swt.
Sejauh yang saya ingat, ketika bulan Ramadhan menjelang, sebahagian Salafus Soleh mengucapkan selamat tinggal kepada sebahagian yang lain sehingga mereka berjumpa semula dalam solat ‘Id.
Yang mereka rasakan adalah ini bulan ibadah, bulan untuk melaksanakan puasa dan qiyam (solat malam) dan kami ingin menyendiri hanya dengan Tuhan kami.Saya ingin agar waktu yang ada di bulan Ramadhan ini kita gunakan untuk melaksanakan hasil dari kajian-kajian terhadap keutamaan bulan tersebut. Apalagi, ramai di antara ikhwan yang melaksanakan solat tarawih dan memanjangkannya sehingga mengkhatamkan Al-Qur’an satu kali di bulan Ramadhan.

Ini merupakan cara mengkhatamkan yang cukup indah di mana Jibril biasa membacakan dan mendengarkan bacaan Al-Qur’an dari Nabi saw sekali dalam setahun.
Nabi saw mempunyai sifat dermawan dan sifat dermawan baginda ini paling menonjol terlihat pada bulan Ramadhan ketika Jibril membacakan dan mendengarkan bacaan Al-Qur’an baginda. Baginda lebih dermawan dan pemurah dibandingkan dengan angin yang berhembus.
Kebiasaan membacakan dan mendengarkan bacaan Al-Qur’an ini terus berlangsung sehingga pada tahun ketika Rasulullah saw diberi pilihan untuk menghadap kepada ‘Ar-Rafiq Al-A’la’, maka ketika itu Jibril membacakan dan mendengarkan bacaan Al-Qur’an baginda dua kali. Ini merupakan isyarat bagi Nabi saw bahwa tahun itu merupakan tahun terakhir baginda hidup di dunia.Ikhwan sekalian, Ramadhan adalah bulan Al-Qur’an dan Rasulullah saw pernah bersabda mengenainya :

“Puasa dan Al-Qur’an itu akan memberikan syafaat kepada hamba di hari kiamat. Puasa akan berkata, “Ya Rabbi, aku telah menghalanginya dari makan dan syahwat, maka perkenankanlah aku memberikan syafa’at untuknya.” Sedangkan Al-Qur’an akan berkata, “Ya Rabbi, aku telah menghalanginya dari tidur di malam hari, maka perkenankan aku memberikan syafaat untuknya.” Maka Allah memperkenankan keduanya memberikan syafaat. (HR Ahmad dan Daruquthni) 
Wahai Ikhwan, dalam diri saya terdetik satu pemikiran yang ingin saya bicarakan. Oleh kerana kita berada di pintu masuk bulan Puasa, maka hendaklah pembicaraan dan renungan kita berkaitan dengan tema bulan Ramadhan.
Ikhwan sekalian, kita telah berbicara panjang lebar tentang sentuhan perasaan cinta dan persaudaraan yang dengannya Allah telah menyatukan hati kita, yang salah satu kesannya yang paling terasa adalah terwujudnya pertemuan ini kerana Allah.
Apabila kita tidak akan berjumpa dalam masa empat minggu atau lebih, maka bukan bermakna bara perasaan ini terus padam atau hilang. Kita tidak seharusnya melupakan prinsip-prinsip luhur tentang kemuliaan dan persaudaraan kerana Allah yang telah dibangun oleh hati dan perasaan kita dalam majlis yang baik ini.
Saya ingin kamu semua tahu bahwa dahaganya akan pertemuan ini akan dipuaskan oleh mata air yang lebih utama, lebih lengkap, dan lebih tinggi, iaitu hubungan dengan Allah swt yang merupakan cita-cita terbaik seorang mukmin bagi dirinya, di dunia mahupun akhirat.Oleh kerana itu, Ikhwan sekalian, hendaklah kamu semua berusaha agar hati kamu menyatu dengan Allah swt pada malam-malam bulan yang mulia ini.Sesungguhnya puasa adalah ibadah yang dikhususkan oleh Allah swt bagi diriNya sendiri.

“Semua amalan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa, la adalah untukKu dan Aku akan memberikan balasannya.” (HR Bukhari & Muslim) Ini, wahai saudaraku, mengisyaratkan bahwa setiap amal yang dilaksanakan oleh manusia mengandungi manfaat lahiriah yang boleh dilihat dan di dalamnya terkandung seumpama bahagian untuk diri kita.

1.      Kadang-kadang jiwa seseorang terbiasa dengan solat sehingga ia ingin melaksanakan banyak solat sebagai bahagian bagi dirinya.
2.      Kadang-kadang ia terbiasa dengan zikir, sehingga ia ingin banyak berzikir kepada Allah sebagai bahagian bagi dirinya.
3.      Kadang-kadang ia terbiasa dengan menangis kerana takut kepada Allah, maka ia ingin banyak menangis kerana Allah sebagai bahagian bagi dirinya.
Adapun puasa, wahai saudaraku, di dalamnya tidak terkandung apa pun selain larangan. Ia perlu melepaskan diri dari berbagai keinginan terhadap apa yang menjadi bahagian dirinya.
Apabila kita terhalang untuk berjumpa antara satu sama lain, maka kita akan banyak berbahagia kerana bermunajat kepada Allah swt dan berdiri di hadapanNya, khususnya ketika melaksanakan solat tarawih.
Ikhwan sekalian, hendaklah kita sentiasa ingat bahwa kita semua berpuasa kerana melaksanakan perintah Allah swt. Maka berusahalah bersungguh-sungguh untuk bersama dengan Tuhan kita dengan hati kita pada bulan mulia ini.
Ikhwan sekalian, Ramadhan adalah bulan keutamaan dan ia mempunyai kedudukan yang agung di sisi Allah swt.
Perkara ini telah dinyatakan dalam kitabNya :
“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan yang batil).” (QS Al-Baqarah : 185) 

Wahai saudaraku, pada akhir ayat ini kita mendapati :
“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (QS Al-Baqarah : 185) 
Puasa adalah kemanfaatan yang tidak mengandungi bahaya. Dengan penyempurnaan puasa ini, Allah swt akan memberikan hidayah kepada hambaNya.
Jika Allah memberikan taufiq kepada kita untuk menyempurnakan ibadah puasa ini dalam rangka menaati Allah, maka ia adalah hidayah dan hadiah yang patut disyukuri dan selayaknya Allah dibesarkan di atas kurniaan hidayah tersebut.
“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (QS Al-Baqarah : 185) 

Kemudian, lihatlah wahai saudaraku, kesan dari semua ini.
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang mendoa apabila ia berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka sentiasa berada dalam kebenaran.” (QS Al-Baqarah : 186)Wahai saudaraku, di sini kita melihat bahwa Allah Yang Maha Benar meletakkan ayat ini di tempat ini untuk menunjukkan bahwa Dia swt paling dekat kepada hambaNya adalah pada bulan mulia ini.

Allah swt telah menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan istimewa. Mengenai perkara ini, terdapat beberapa ayat dan hadits.

Nabi saw bersabda :
“Jika bulan Ramadhan datang, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu, kemudian seorang penyeru berseru, “Wahai pencari kebaikan, kemarilah! Wahai pencari kejahatan, berhentilah!” (HR Thabrani) 
Wahai saudaraku, pintu-pintu syurga dibuka, kerana itu manusia berbondong-bondong melaksanakan ketaatan, ibadah dan taubat sehingga jumlah pelakunya banyak. Syaitan-syaitan dibelenggu, kerana itu manusia akan beralih kepada kebaikan, sehingga syaitan tidak mampu berbuat apa-apa.
Hari-hari dan malam-malam Ramadhan merupakan masa-masa kemuliaan yang diberikan oleh Al-Haq swt, agar orang-orang yang berbuat baik menambah kebaikannya dan orang-orang yang berbuat jahat mencari kurnia Allah swt sehingga Allah mengampuni mereka dan menjadikan mereka hamba-hamba yang dicintai dan didekatkan kepada Allah.
Keutamaan dan keistimewaan paling besar bulan ini adalah bahwa Allah swt telah memilihnya menjadi waktu turunnya Al-Qur’an. Inilah keistimewaan yang dimiliki oleh bulan Ramadhan.
Oleh kerana itu, Allah swt menjadikannya istimewa dengan menyebutkannya dalam kitabNya.
“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Qur’an.” (QS Al-Baqarah : 185) 
Ada ikatan hakikat dan fizikal antara turunnya Al-Qur’an dengan bulan Ramadhan.
Ikatan ini adalah selain bahwa Allah telah menurunkan Al-Qur’an di bulan Ramadhan, maka di bulan ini pula Dia mewajibkan puasa kerana puasa ertinya menahan diri dari hawa nafsu dan syahwat.
Ini merupakan kemenangan hakikat kerohanian ke atas hakikat kebendaan dalam diri manusia.
Ini bererti, bahwa  :
“Jiwa, ruh dan pemikiran manusia pada bulan Ramadhan akan menghindari tuntutan-tuntutan jasmani.”
Dalam keadaan seperti ini, ruh manusia berada di puncak kejernihannya kerana ia tidak disibukkan oleh syahwat dan hawa nafsu. Ketika itu ia dalam keadaan paling bersedia untuk memahami dan menerima ilmu dari Allah swt. Oleh kerana itu, bagi Allah, membaca Al-Qur’an merupakan ibadah paling utama pada bulan Ramadhan yang mulia.
Pada kesempatan ini, Ikhwan sekalian, saya akan meringkaskan untuk kamu, semua pandangan-pandangan saya tentang kitab Allah swt dalam kalimat-kalimat ringkas.
Wahai Ikhwan yang mulia, tujuan-tujuan asasi dalam kitab Allah swt dan prinsip-prinsip utama yang menjadi landasan bagi petunjuk Al-Qur’an ada tiga :PERTAMA : PERBAIKAN AQIDAH

Kamu mendapati bahwa Al-Qur’anul Karim banyak menjelaskan masalah aqidah dan menarik perhatian kepada apa yang seharusnya tertanam sungguh-sungguh di dalam jiwa seorang mukmin agar ia dapat mengambil manfaatnya di dunia dan di akhirat.
Keyakinan bahwa Allah swt adalah Yang Maha Esa, Yang Maha Kuasa, Yang menyandang seluruh sifat kesempurnaan dan bersih dari seluruh kekurangan. Kemudian keyakinan kepada hari akhirat agar setiap jiwa dihisab tentang apa sahaja yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.
Saudaraku, jika kamu mengumpulkan ayat-ayat mengenai aqidah dalam Al-Qur’an, niscaya kamu mendapati bahwa keseluruhannya mencapai lebih dari sepertiga Al-Qur’an.
Allah swt berfirman dalam surah Al-Baqarah :
“Wahai manusia, beribadahlah kepada Rabb kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa. Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagi kamu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untuk kamu; kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah padahal kamu mengetahui.” (QS Al-Baqarah : 21-22) 

Wahai saudaraku, setiap kali membaca surah ini, kamu mendapati kandungannya ini terbentang di hadapan kamu.
Allah swt juga berfirman dalam surah Al-Mukminun :
“Katakanlah, ‘Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya, jika kamu mengetahui?’ Mereka akan menjawab, ‘Kepunyaan Allah.’ Katakanlah, ‘Maka apakah kamu tidak ingat?’Katakanlah, ‘Siapakah Yang Empunya langit yang tujuh dan Yang Empunya ‘Arasy yang besar?’ Mereka akan menjawab, ‘Kepunyaan Allah.’ Katakanlah, ‘Maka apakah kamu tidak bertaqwa?’Katakanlah, ‘Siapakah yang di tanganNya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi dari (azab)Nya, jika kamu mengetahui?’ Mereka akan menjawab, ‘Kepunyaan Allah.’ Katakanlah, ‘(Kalau demikian), maka dari jalan manakah kamu ditipu?’Sebenarnya Kami telah membawa kebenaran kepada mereka, dan sesungguhnya mereka benar-benar orang yang berdusta.” (QS Al-Mukminun : 84-90)Allah swt juga berfirman dalam surah yang sama :

“Apabila sangkakala ditiup maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu dan tidak pula mereka saling bertanya. Barangsiapa yang berat timbangan (kebaikannya) maka mereka itulah orang-orang yang dapat keberuntungan.Dan barangsiapa yang ringan timbangan (kebaikannya), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, mereka kekal di dalam neraka Jahanam.” (QS Al-Mukminun : 101-103)Allah swt juga berfirman :

“Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat. Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung)nya. Dan manusia bertanya, ‘Mengapa bumi (jadi begini)?’Pada hari itu bumi menceritakan beritanya. Kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang demikian itu) kepadanya. Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya pula.” (QS Al-Zalzalah : 1-8)Allah swt berfirman :

“Hari Kiamat. Apakah hari Kiamat itu?Tahukah kamu apakah hari Kiamat itu? (QS Al-Qaari’ah : 1-3) 

Dalam surah lain, Allah swt berfirman :
“Bermegah-megahan telah melalaikan kamu sehingga kamu masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatan kamu itu). Dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui.(QS At-Takatsur : 1-4) 

Wahai saudaraku, ayat-ayat ini menjelaskan hari akhirat dengan penjelasan cukup terang yang mampu melunakkan hati yang keras.KEDUA : PENGATURAN IBADAH

Kita juga membaca firman Allah swt mengenai ibadah.
“Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat.” (QS Al-Baqarah : 43) 
“…diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu.” (QS Al-Baqarah : 183)
“…mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah.” (QS Ali Imran : 97) 
“Maka aku katakan kepada mereka, ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.” (QS Nuh : 10) 

Dan banyak lagi ayat-ayat lain mengenai ibadah.KETIGA : PENGATURAN AKHLAK

Mengenai pengaturan akhlak, wahai saudaraku, kamu dapat membaca firman Allah swt :
“Dan demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya.” (QS Asy-Syams : 7-8) 
“…Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum, sehingga mereka mengubah keadaan yang ada dalam diri mereka sendiri.” (QS Ar-Ra’d : 11) 
“Adakah orang yang mengetahui bahwasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu benar sama dengan orang yang buta? Hanyalah orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pelajaran.(Iaitu) orang-orang yang memenuhi janji Allah dan tidak merosak perjanjian. Dan orang-orang yang sabar kerana mencari ridha Tuhannya, mendirikan solat, dan menaf kahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik). (Iaitu) syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang soleh dari bapa-bapanya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu.(Sambil mengucapkan), ‘Salamun ‘alaikum bima shabartum (keselamatan atasmu berkat kesabaranmu),’ maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.” (QS Ar-Ra’d : 19-24) 
Wahai saudaraku, kamu mendapati bahwa akhlak-akhlak mulia bertebaran dalam kitab Allah swt dan bahwa ancaman bagi akhlak-akhlak tercela sangatlah keras.
“Dan orang-orang yang memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan dan mengadakan kerosakan di bumi, orang-orang itulah yang memperolehi kutukan dan bagi mereka tempat kediaman yang buruk (Jahanam).” (QS Ar-Rad : 25) 

Inilah peraturan-peraturan tersebut.
Ikhwan sekalian, sebenarnya, peraturan-peraturan itu lebih tinggi daripada yang dikenali oleh manusia kerana di dalamnya terkandung semua yang dikehendaki manusia untuk mengatur urusan masyarakat.
Ketika mengupas sekelompok ayat, maka kamu akan mendapati makna-makna ini jelas dan terang.
Seperempat juz yang dimulai dengan
“Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi.” (QS Al-Baqarah : 219)mengandungi lebih dari dua puluh lima hukum amali tentang :

a.       Arak.
b.      Judi.
c.       Anak-anak yatim.
d.      Perkahwinan laki-laki dan wanita-wanita musyrik.
e.       Haid.
f.       Sumpah.
g.      Ila’.
h.      Talak.
i.        Ruju’.
j.        Khulu’.
k.      Nafkah.
dan hukum-hukum lainnya yang banyak sekali di mana kamu boleh dapatkan dalam seperempat juz sahaja. Ini adalah kerana surah Al-Baqarah datang untuk mengatur masyarakat Islam di Madinah.
Ikhwan tercinta, hendaklah kamu semua menjalin hubungan dengan kitab Allah. Bermunajatlah kepada Tuhan dengan kitab Allah. Hendaklah masing-masing dari kita memperhatikan prinsip-prinsip asas yang telah saya sebutkan ini kerana itu akan memberikan manfaat yang banyak kepada kamu, wahai saudaraku. InsyaAllah kamu akan mendapatkan manfaat darinya.
Akhir sekali Ikhwan sekalian, hendaklah kamu semua menjadikan bulan ini sebagai bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan melaksanakan tradisi yang dilakukan oleh salafus-soleh radhiyallahu ‘anhum.
Ya Allah, bukakanlah pintu-pintu hati kami untuk menerima segala keutamaan dan keberkatan Ramadhan sebagaimana Engkau buka pintu-pintu syurga untuk menerima hamba-hambaMu yang mendekatkan diri mereka kepadaMu di bulan yang mulia ini. Tutupkanlah hati kami dari mengikuti segala kehendak nafsu dan syahwat sebagaimana Engkau tutup pintu-pintu neraka bagi menghindarkan diri kami dari terpalit dengan dosa dan noda yang akan menjerumuskan kami ke dalamnya.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s